
APA ITU DMJ?
DMJ adalah platform terbuka dan bebas yang mengumpulkan anak muda Johor dari pelbagai latar belakang bagi membincang & membahaskan usul berkaitan dasar dan polisi Kerajaan Negeri Johor.
Ia adalah medium demokratik yang bersifat tersusun dalam menyalurkan kritikan, saranan serta ikhtiar semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dan Malaysia.

CETUSAN IDEA
DMJ adalah idea asal oleh YAB Datuk Ir Hasni Bin Mohammad dan beliau dibantu oleh sekumpulan anak muda yang yakin bahawa anak muda mesti tampil dan berperanan dalam setiap agenda pembangunan dan masa depan Johor.
DMJ nekad memastikan suara dan luahan anak muda yang dahulunya dianggap keriuhan di jalanan, kini menjadi daya kuat dalam memeta hala tuju negeri.
Bertitik tolak daripada cetusan idea tersebut, Sekretariat Kertas Cadangan (SKC) telah merangka beberapa aspek dan kriteria yang perlu dibincangkan oleh pemegang taruh ("stakeholder") golongan anak muda di Negeri Johor ini seperti Majlis Belia Johor, Majlis Belia Felda, Parlimen Belia Malaysia, BNY, Koloni Muda Johor, GPMS, mahasiswa, pengamal media dan lain-lain sebelum penubuhan Dewan Muda Johor.
PERANAN DEWAN MUDA JOHOR
DEWAN MUDA JOHOR berperanan sebagai platform untuk orang muda menyuarakan idea dan pandangan melalui usul-usul dan ketetapan yang dibuat.
Pewujudan Dewan Muda Johor ini hampir menyamai konsep Parlimen Belia di 33 buah negara seperti kebanyakan negara maju dan membangun. Antaranya Australia, United Kingdom, New Zealand, Timor Leste, Filipina, Bangladesh dan beberapa Negara Eropah.
OBJEKTIF DMJ
DMJ hadir sebagai suara neutral yang bebas dan lantang dalam membawa aspirasi anak muda dan masyarakat kepada perhatian pihak berkuasa. la bertindak tanpa ampu, tanpa ragu. Matlamatnya adalah memastikan kesejahteraan dapat dipelihara dan dicapai dalam setiap gerak kerja Kerajaan mahupun pembangkang.
DMJ turut mensasarkan untuk menjadi batu loncatan yang akan melahirkan generasi pemimpin pelapis yang berwibawa dan cakna akan isu masyarakat
1
Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan



4
Menjadi kuasa pendesak berkecuali kepada polisi dan dasar dibawa oleh pihak kerajaan Negeri dan Pusat



2
Memberi pendedahan kepada orang muda dalam mendalami bagaimana proses undang - undang digubal serta memahami sistem pentadbiran



5
Melahirkan pimpinan politik muda dan baharu



3
Mengenal pasti arus kehendak orang muda untuk diambil kira dan diharmonikan dengan hasrat Kerajaan Negeri dan Pusat



6
Melahirkan pasukan pemikir anak - anak muda yang mempunyai latar belakang dan pengalaman yang pelbagai dan berbeza



PENGISIAN DMJ
Setiap peserta yang terpilih dibahagikan kepada beberapa Jawatankuasa yang membayangi struktur portfolio Jawatan Kuasa Kerajaan Negeri & Kementerian di Kerajaan Persekutuan.
Setiap kali DMJ bersidang, Jawatan Kuasa akan membahaskan usul berkaitan dengan cakupan jawatan kuasa mereka, sama ada bersetuju atau menolak sesuatu dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. Pendirian akhir akan diterjemahkan melalui satu resolusi yang akan diserahkan kepada pihak kerajaan.
Persidangan Dewan Muda Johor (DMJ) dicadangkan sebanyak dua (2) kali setiap tahun atau mengikut bilangan sidang DUN Johor yang sebenar.
Sejumlah usul yang telah dicadangkan dan diundi dalam kalangan Ahli Dewan Muda Johor akan dibawa untuk dibahaskan pada Persidangan akan berlangsung pada tarikh yang akan ditetapkan pihak Sekretariat.
Selain daripada persidangan, DMJ turut terlibat dalam melaksanakan Program Pembangunan Belia Peringkat Akar Umbi dengan merancang dan menjalankan aktiviti dan program belia di peringkat DUN dan Parlimen negeri Johor.